PETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersikap tenang walaupun rumah beliau dan keluarganya digeledah polis dalam siasatan berhubung skandal 1MDB.
Dalam temu bual dengan media, katanya, beliau mahu kembali kepada kehidupan biasa bersama keluarganya.
“Kami boleh terima keadaan yang berlaku dengan baik. Saya fikir kami agak tenang, sebagai keluarga orang politik. Ia hanyalah salah satu ujian dan tribulasi, serta bahaya terlibat dalam politik,” katanya seperti dilaporkan.
“Ia kehidupan yang berbeza, tetapi saya tidak mengeluh. Saya tidak minta hidup begini, tetapi ia lebih tenang. Saya boleh buat mengikut kehendak saya. Bila saya berasa mengantuk, saya tidur. Jika saya rasa nak bangun, saya boleh bangun.
“Tapi, saya mahu ia berakhir secepat mungkin kerana kami mahu meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya kepada akhbar Malay Mail.
Rosmah menjadi tumpuan kritikan umum di media sosial selama beberapa tahun ini dan subjek laporan media tentang gaya hidupnya.
Minggu lepas, serbuan polis ke atas 3 kondominium mewah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, menjadi berita utama media apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dilaporkan merampas hampir 300 kotak beg tangan mewah dan 72 beg berisi barang kemas, wang tunai dan barangan berharga lain.
Suaminya, Datuk Seri Najib Razak dalam temu bual dengan media berkata, banyak barangan yang dirampas merupakan hadiah daripada kawan, dan wang tunai yang ditemui merupakan sumbangan politik bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.
BN hilang kuasa di tangan Pakatan Harapan, dan pengerusi gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan siasatan ke atas urus niaga kewangan syarikat milik kerajaan, 1MDB dan SRC International dibuka semula.
Dalam temu bual semalam, Rosmah meminta polis melayan beliau dan keluarganya dengan hormat sama seperti rakyat Malaysia lain.
“Saya boleh terima semua penggeledahan tengah malam, saya faham.
“Saya percaya seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan salah. Oleh itu, kami perlu dilayan seperti orang lain dengan hak kehormatan diri.”
Sepanjang temu bual itu, Rosmah diiringi peguamnya, Geethan Vincent dan M Puravalen.
Semalam, beliau membuat kenyataan meminta polis berhenti membocorkan gambar dan maklumat peribadi barang rampasan polis ke media sosial. Najib turut mendesak polis bersikap profesional dalam menjalankan tugas mereka.
Sumber : FreeMalaysiaToday
Kini, banyak mata memerhati jalan ke kediaman Najib, Rosmah
KUALA LUMPUR: Sejak seminggu lepas, media tempatan dan luar negara memberi tumpuan ke Jalan Langgak Duta, lokasi kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Ia apabila Najib dilarang daripada keluar negara, atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang segera memulakan usaha menyiasat skandal 1MDB yang kuat dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) tempohari.
Situasi lebih hangat apabila bermula malam Rabu tempoh hari, sepasukan polis hadir dan memeriksa rumah Najib, dan merampas sekurang-kurangnya tiga kotak berisi beg tangan mewah, pakaian dan barangan peribadi lain dari kediamannya.
Ketika waktu kemuncak itu, memang ramai orang di sini. Yang bukan petugas media pun beraksi seperti petugas media, mengeluarkan telefon pintar masing-masing untuk turut merakam. Sehingga ada kalanya mengganggu kerja kami, maaf cakap.
Malah, dalam ramai-ramai mata yang memerhati itu, tidak diketahui latar belakang mereka yang hadir.
Hal itu pun menyebabkan aliran trafik di sini sesak. Tak pernah Taman Duta ini sesak sebelum ini. Sampai ada wanita marah dan mengadu kepada polis yang berkawal.
Sambil mengadu, wanita itu yang merupakan penduduk di kawasan dikatakan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti harian kerana terlalu banyak kereta menghalang jalan.
Namun ia semakin mereda, apabila usai operasi polis termasuk di dua lagi unit kediaman keluarganya di Pavilion Residence yang menyaksikan rampasan 284 kotak beg tangan mewah dan 72 bagasi berisi wang tunai pelbagai mata wang beserta koleksi barang kemas dan jam beberapa hari lalu.
Para petugas media pun satu demi satu meninggalkan Jalan Langgak Duta sehingga lengang, dan hanya kami kru Astro AWANI sahaja yang masih berada di sini sejak petang tadi.
Tiada siapapun melainkan para anggota polis yang mengawal simpang masuk menuju ke kediaman Najib di hujung selekoh jalan, sehinggalah melepasi waktu berbuka puasa.
Bermula sekitar jam 8.30 malam, satu demi satu kereta datang dan meletakkan kenderaan masing-masing di gigi jalan. Ada yang datang seorang, ada berdua dan ada yang ramai, mereka turun meninjau kawasan sekitar dan bergambar di hadapan had akses orang awam yang dikawal polis berlatar belakangkan kediaman Najib dan papan tanda Jalan Langgak Duta.
Sebahagian besar ditemui bukan daripada sekitar, mereka datang dari jauh dan singgah ke sini semata-mata untuk melihat lokasi yang tengah hangat di dada akhbar dan televisyen sejak akhir-akhir ini.
“Saya tinggal di Kelana Jaya, makan malam bersama keluarga di Pudu. Kemudian saya ajak keluarga ke sini, asyik dengar dalam berita saja. Nak tengok bagaimana tempatnya,” kata seorang pemuda yang hanya mahu dikenali dengan nama Keith.
Seorang peguam pula telah membawa keluarganya singgah di kediaman bekas perdana Menteri tersebut selepas makan malam dan bertanya kepada wartawan Astro AWANI yang mana rumah Najib dan Rosmah.
“This is the house of our former prime minister and his wife. The one with three flags in front of the house,” terang beliau kepada kedua-dua anak perempuannya.
(Inilah rumah bekas perdana menteri dan isterinya. Yang ada tiga bendera di hadapan)
“Agaknya, apa yang akan terjadi kepada ‘tertuduh’?” tanya seorang lagi orang awam berusia dalam Lingkungan 50-an.
Sementara seorang pengunjung bernama Shahrul, memberitahu yang dia datang dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur untuk berbuka puasa bersama rakannya.
“Hujung minggu kan, saja jalan-jalan. Terdetik nak datang sini, asyik disebut saja tempat ini dalam berita, buletin dan perbincangan Malaysia Memilih Astro AWANI,” ceritanya.
Seorang lagi pengunjung bernama Man datang dari Damansara Damai memberitahu, dia bersama keluarga datang ke Kuala Lumpur sebelum singgah di kawasan itu untuk melihat dengan mata kasar.
Tak lama selepas itu, kembali beberapa rakan-rakan media lain untuk bersama berkampung di sini. Najib dan isteri difahamkan akan kembali ke kediaman di Jalan Langgak Duta pada esok pagi, tetapi kami (pengamal media) masih di sini.
Orang awam pun datang dan pergi, yang secara tidak langsung menemani dan turut ‘memeriahkan’ penantian kami di sini.
Sumber : Astro Awani