Tunjuk Resit Pembelian Barang Barang Berharga, Kadir Jasin Beritahu Najib

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menunjukkan resit sebagai bukti pembelian barang kemas dan berjenama oleh dirinya serta keluarga, kata Datuk A Kadir Jasin, jurucakap Majlis Penasihat Kerajaan.

Beliau juga meminta mereka yang memberi hadiah kepada Najib dan keluarganya tampil membuat akuan bersumpah (SD) tentang hadiah masing-masing.

“Beliau boleh tunjukkan resit dan SD itu kepada pegawai penguat kuasa. Beliau disiasat atas skandal 1MDB dan skandal lain.

“Beliau kata sesetengah barangan yang diambil polis itu, sama ada dibeli atau dihadiahkan kepada mereka. Mana kita nak tahu jika barangan itu dicuri atau dibeli menggunakan duit hasil titik peluh mereka?

“Cara betul ialah menunjukkan resit pembelian dan sijil keaslian barangan yang dibeli Najib dan isterinya,” katanya kepada FMT.

Kadir diminta menjelaskan catatan di Facebooknya yang mendesak Najib menunjukkan bukti resit pembelian barangan yang dirampas polis.

Pada 17 Mei lepas, polis menggeledah 3 kondominium mewah di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan keluarga Najib, dan merampas 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dan 72 beg berisi barang kemas, wang tunai, jam tangan dan barang berharga lain.

Datuk Seri Amar Singh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata, polis menggeledah 6 premis sejak malam Rabu lepas, iaitu Pejabat Perdana Menteri, kediaman Najib di Taman Duta dan 4 kediaman lain yang dikaitkan dengannya.

Kadir berkata, resit biasanya diberikan kepada pelanggan membeli barang kemas atau barangan berjenama sebagai bukti jualan, dan Najib tentu menerima resit demikian jika beliau dan isterinya membeli barangan tersebut.

“Sekiranya barangan itu dihadiahkan kawan yang pemurah, mereka mesti beritahu ia adalah hadiah. Perlu ada SD yang membuktikan mereka memberi hadiah itu kepada Najib.”

Kenapa menteri kewangan simpan wang di bawah bantal?

Kadir turut mempersoalkan kenapa wang tunai dilaporkan ditemui dan beg bagasi.

Katanya, rakyat Malaysia menyimpan wang di bank yang membantu ekonomi berkembang.

“Tetapi, menyimpan wang di bawah bantal tidak menghasilkan pendapatan. Kenapa beliau tidak menyimpannya di bank?

“Beliau simpan wang di rumah. Itu juga tidak selamat.”

Kadir berkata, pegawai penguat kuasa perlu menyiasat semua sumber pendapatan Najib.

Kredit dan Sumber : Free Malaysia Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *